Rabu, Oktober 21, 2009

Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) Antara Koperasi USIA Bhd dengan Aeroswift Consultancy Sdn. Bhd.



Pada 6hb September 2009, satu Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Koperasi USIA Bhd dengan Aeroswift Consultancy Sdn. Bhd telah berlangsung di Bangunan Ibu Pejabat USIA, Kota Kinabalu.

Majlis tersebut disaksikan oleh Yang Dipertua USIA Tun Sakaran Dandai dan dihadiri oleh pegawai-pegawai USIA dan Koperasi USIA Bhd, serta orang awam. Majlis yang bermula pada pukul 10pagi itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Koperasi USIA Bhd, Tuan Haji Ariffin Sani dan seterusnya taklimat mengenai Penternakan Burung Walet oleh wakil daripada Aeroswift Consultancy Sdn. Bhd, Encik Khairil Sani Wong Abdullah.

Dalam taklimat tersebut, beliau menerangkan sedikit sebanyak tentang Penternakan Burung Walet untuk mendapatkan sarangnya serta perkembangan industri tersebut di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

Aeroswift Sdn. Bhd sempat menayangkan tayangan video singkat yang memaparkan langkah-langkah yang terlibat dalam perusahaan sarang burung walet dan bagaimana Syarikat mereka membekalkan khidmat runding serta prosedur-prosedur yang terlibat dalam pembinaan rumah burung walet tersebut. Beberapa pertanyaan daripada hadirin turut diajukan kepada pihak Aeroswift Sdn Bhd. Ini menunjukkan minat di kalangan hadirin yang hadir dalam menternak seterusnya mendapatkan sarang burung walet untuk didagangkan.

Selepas taklimat disampaikan, Majlis Menandatangi Perjanjian Persefahaman disempurnakan di hadapan yang Dipertua USIA, Yang Berbahagia, Tun Sakaran Dandai, diantara Koperasi USIA Bhd yang diwakili oleh Tuan Haji Ariffin Sani dan disaksikan oleh Datuk Abdullah Hussin, sementara Aeroswift Consultancy Sdn. Bhd yang diwakili oleh Encik Khairil Sani Wong Abdullah dan disaksikan oleh Dato' Wan Zahari Hassan.

Dengan termeterainya Perjanjian Persefahaman ini, diharapkan ahli-ahli Koperasi USIA Bhd dapat mengambil langkah-langkah susulan yang bijak untuk melibatkan diri dalam industri pemprosesan dan penternakan burung walet ini.







Kedatangan YDP USIA, Tun Sakaran Dandai disambut oleh Setiausaha Agung USIA,
Datuk Abdullah Hussin.


Kedatangan Tun Sakaran Dandai disambut mesra oleh para hadirin yang hadir.


Barisan Pegawai-pegawai USIA dan tetamu kehormat.
Ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Koperasi USIA Bhd, Tuan HAji Ariffin Sani.


Taklimat daripada wakil Aeroswift Consultancy Sdn. Bhd, Encik Khairil Sani Wong Abdullah.


Antara tetamu-tetamu yang hadir.

Majlis Menandatangai Perjanjian Persefahaman (MOU) disempurnakan.


YDP USIA sedang berbincang dengan Pegawai-pegawai USIA.





Upacara penyampaian cenderahati daripada USIA kepada Aeroswift Consultancy Sdn. Bhd.
























YDP USIA sedang beramah mesra dengan para tetamu yang hadir.

Ahad, Oktober 18, 2009

Taklimat Koperasi Di USIA Bahagian Keningau

Pada 18hb Oktober 2009, Koperasi USIA Berhad telah mengadakan satu taklimat keahlian atas undangan ahli-ahli USIA Bahagian Keningau. Taklimat ini diadakan di Kampung Bayangan, Keningau. Taklimat ini diadakan adalah bertujuan untuk memperkenalkan kepada ahli-ahli USIA Keningau tentang penubuhan Koperasi ini seterusnya berhasrat untuk menarik minat mereka untuk mengikuti dan mendaftarkan diri sebagai ahli Koperasi USIA Berhad.

Majlis dimulakan dengan ucapan doa seterusnya ucapan alu-aluan daripada Ketua USIA Bahagian Keningau, Encik Kaipin Rosmin. Seterusnya majlis diteruskan dengan penerangan ringkas tentang Koperasi ini oleh Encik Talib Anib selaku Pegawai Operasi. Untuk menambahkan lagi faedah para hadirin yang hadir, satu taklimat mengenai Industri Gaharu dan Penanaman Gaharu telahpun disampaikan oleh Pegawai Agronomis Koperasi iaitu Encik Pg.Mohammad Norshobri Baharun. Taklimat ini bertujuan untuk memberikan bayangan awal berkenaan industri gaharu yang berpotensi amat besar untuk ahli-ahli koperasi berkecimpung dalam bidang ini.

Setelah itu, sesi disambung di bilik mesyuarat serbaguna untuk sesi soal jawab. Taklimat kali ini berjaya menarik minat ahli-ahli USIA Bahagian Keningau seterusnya menarik mereka untuk mendaftarkan diri menjadi ahli Koperasi ini.

Majlis diakhiri pada jam 4 petang.


































Selasa, Oktober 13, 2009

Majlis Penyerahan Anak Pokok Gaharu Kepada Ahli-Ahli USIA Bahagian Papar & Membakut, Sabah.

Pada 12hb April 2009 yang lepas, Koperasi USIA Bhd. telah menghadiri Majlis Penyerahan Anak Pokok Gaharu yang dianjurkan di dua bahagian USIA yang berasingan iaitu di Papar dan Membakut, Sabah.



Majlis yang bermula pada jam 10 pagi itu dihadiri dan dirasmikan oleh Setiausaha Agung USIA; Datuk Haji Abdullah Hussin, dengan diiringi beberapa orang Pegawai Koperasi seperti Tuan Haji Uda Sulai, Encik Talib Aning, dan beberapa orang kakitangan USIA yang lain.



Sejumlah 1500 anak pokok gaharu dari spesies Aquilaria Malaccensis telah diagih-agihkan kepada ahli-ahli USIA di kedua-dua bahagian tersebut dengan percuma. Kedua-dua majlis yang dimulakan dengan 'Taklimat Mengenai Pokok Gaharu' yang disampaikan oleh Pegawai Agronomis Koperasi, antara lainnya bertujuan untuk memberi maklumat yang terkini berkenanaan dengan industri gaharu negara dan dunia.



Disamping itu juga, promosi keahlian Koperasi untuk semua tetamu yang hadir turut dilakukan. Hanya dengan berdaftar kepada Koperasi USIA sahaja segala kepakaran dan khidmat nasihat berkenaan dengan industri ini akan dapat diperolehi dengan percuma.


Adalah disasarkan bahawa ahli-ahli USIA akan menanam sejumlah 1 Juta Pokok Gaharu menjelang tahun 2020. Dengan berpandukan matlamat ini, maka aktiviti-aktiviti berkaitan dengan perkembangan dari segi maklumat, teknologi, aplikasi mahupun prospek niaga telahpun giat dijalankan semenjak tertubuhnya Koperasi milik USIA ini.


Adalah diharapkan, dengan potensi dan peluang yang ditawarkan oleh Koperasi kepada ahli-ahli USIA, taraf ekonomi dan status sosial ahli-ahli USIA khasnya dan umat Islam umumnya akan dapat ditingkatkan sejajar dengan arus globalisasi dunia.







GALERI GAMBAR UNTUK MAJLIS DI PAPAR:


Anak-anak pokok gaharu yang sedia untuk di agih-agihkan kepada ahli-ahli USIA Bahagian Papar.


Antara tetamu kehormat yang hadir di majlis pertama yang berlangsung di Papar.



Sesi pertanyaan & jawapan berkenaan Koperasi oleh Tuan Haji Uda Sulai


Majlis penyerahan bibit pokok gaharu oleh Datuk Haji Abdullah Hussin kepada ahli-ahli USIA Bahagian Papar.

Penerangan keahlian Koperasi oleh Encik Talib Aning.




GALERI GAMBAR UNTUK MAJLIS DI MEMBAKUT:



Tetamu-tetamu kehormat yang hadir pada majlis kedua di Membakut.



Antara hadirin yang hadir mendengar taklimat yang diberikan.




Penyerahan rasmi borang keahlian baru USIA kepada Datuk Setiausaha Agung.

Penyerahan bibit gaharu oleh Datuk Setiausaha Agung kepada ahli-ahli USIA Bahagian Membakut.

Bibit gaharu yang sedia untuk diagihkan kepada ahli-ahli USIA Bahagian Membakut.

Datuk Setiausaha Agung USIA sempat menanam bibit gaharu sebagai simbolik kepada majlis tersebut di perkarangan Dewan Ujana Wawasan, Membakut.

Isnin, Mei 11, 2009

MENDAPATKAN ANAK POKOK GAHARU



  1. Benih gaharu selalunya didapati daripada kawasan hutan di mana pokok gaharu induk yang berbunga dan berbuah didapati.

  2. Selalunya, penduduk-penduduk pedalaman yang tinggal berdekatan dengan hutan komuniti mahupun tinggal di kawasan hutan (tanah) milik persendirian ini mengutip bibit-bibit gaharu di sekeliling pokok gaharu induk dan kemudiannya dijual kepada pembeli yang berminat.

  3. Wakil nurseri-nurseri akan mengunjungi tempat mereka ini dan membeli seterusnya mengutip sendiri bibit-bibit tersebut mengikut kuantiti dan kualiti yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

  4. Proses memindahkan bibit ini dari kawasan ‘in-situ’ ke nurseri yang kadangkala terletak jauh dari kawasan tersebut memerlukan kaedah-kaedah pengendalian yang tertentu bagi mengelakkan kerosakan pada bibit gaharu.

  5. Disebabkan faktor masa dan jarak, bibit gaharu dibalut dalam tisu yang lembap dan dibalut dalam plastik sebelum diangkut ke nurseri. Selalunya proses ini digunakan sekiranya bibit gaharu terpaksa ‘bermalam’ selama beberapa hari di luar sebelum
    ditanam di dalam polibeg di nurseri.




Gaharu Sebagai Kemenyan & Setanggi


KEGUNAAN GAHARU

  1. Analisis kimia mendapati gaharu mengandungi agarospiral, jinkohol-eremol yang bertanggungjawab menghasilkan aroma gaharu untuk kegunaan minyak wangi. Komponen methoxyphenylethyl chromone pula menghasilkan bauan yang wangi apabila kayu gaharu dibakar.
  2. Gaharu telahpun dijadikan setanggi / kemenyan semenjak beribu tahun dahulu untuk upacara penganut-penganut Budhisme, Confusianisme, dan Hinduisme.
  3. Daun, akar dan kulit pokok gaharu diaplikasikan sebagai ubat anti malaria, shampoo, sabun dan sebagainya.
  4. Air sulingannya pula digunakan dalam perubatan selepas bersalin, antikanser, antibiotik, penyakit kewanitaan, demam, sakit badan, dan sakit perut.

ETIMOLOGI (KAJIAN ASAL USUL KATA)


1. Di Negara China, gaharu dikenali sebagai Chén-xīang, dan Jin-koh di Jepun; kedua-dua membawa maksud setanggi / kemenyan yang tenggelam.


2. Di negara-negara Arab, gaharu disebut sebagai ‘Oud’ atau ‘Oude’ sebagai harfiah kepada perkataan ‘wood’.


3. Di Eropah pula gaharu dikenali sebagai Lignum Aguila (eagle wood) atau Agilawood.


4. Nama yang lain juga adalah Lignum aloes atau Aloeswood, namun ia dikatakan mngelirukan dalam penamaan taksonomi, disebabkan terdapatnya Genus Aloes yang tidak mempunyai kaitan dengan gaharu. Walaubagaimana pun, Aloes di dalam kitab Zabur (Num. 24:6; Ps. 45:8; Prov. 7:17; dan Cant. 4:14) dan di dalam kitab Injil Ibrani merujuk kepada spesies malaccensis gaharu.

5. Di Indonesia dan negara kita Malaysia, agarwood ialah gaharu.


6. Di New Guinea, gaharu dipanggil dengan nama ‘ghara’.


7. Di Vietnam, gaharu dipanggil dengan nama ‘trầm hương’.


8. Di India, gaharu disebut sebagai ‘agar’.


9. Di Laos, gaharu disebut sebagai ‘Mai Ketsana’.

Isnin, April 20, 2009

CIRI-CIRI UMUM POKOK GAHARU

1. Pokok gaharu membesar sehingga mencapai ketinggian 40 meter dan dbh 60 cm.

2. Hidup di kawasan tanah pamah sehingga ketinggian 750 m dari paras laut, dengan purata taburan hujan sebanyak 2000 cm.

3. Pokok gaharu (karas) merupakan spesies di bawah CITES Appendix II, akibat populasinya yang rendah diancam kepupusan.

4. Tumbuh pada julat suhu antara 27°C hingga 32°C dengan intensiti pancaran matahari sebanyak 70 %.

5. Kesesuaian tanah adalah jenis lembut dan liat berpasir dengan pH tanah antara 4.0 hingga 6.0.

PENGKELASAN SAINTIFIK GAHARU

Alam : PLANTAE
Order : Malvales
Famili : Tymalaeaceae
Genus : Aquilaria

Spesies :
Aquilaria hirta Malaysia
Aquilaria beccariana Malaysia
Aquilaria rostrata Malaysia
Aquilaria microcarpa Malaysia
Aquilaria malaccensis Malaysia
Aquilaria subintegra Thailand
Aquilaria agallocha Malaysia
Aquilaria crassna Thailand,Kemboja,Laos,Vietnam
Aquilaria apiculata Filipina
Aquilaria baneonsis Vietnam
Aquilaria grandiflora Negara China
Aquilaria cumingiana Indonesia, Filipina
Aquilaria casiana India
Aquilaria sinensis Negara China
Aquilaria baillonil Thailand,Kemboja,Laos,Vietnam
Aquilaria brachyantha Malaysia
Aquilaria filaria New Guinea, Negara China

Rabu, April 01, 2009

Pengenalan Kepada Koperasi


Koperasi ini ditubuhkan untuk memberi nilai tambahan kepada ahli-ahli koperasi dalam bentuk pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti-aktiviti pertanian dan perdagangan.
Umumnya, ahli-ahli koperasi ini terdiri daripada ahli-ahli berdaftar Pertubuhan Islam Seluruh Sabah atau lebih dikenali sebagai USIA. Ahli-ahli berdaftar ini merangkumi ahli-ahli daripada seluruh bahagian USIA di negeri Sabah. Hal ini bermaksud, nilai capahan yang dipunyai oleh Koperasi USIA ini adalah amat tinggi di mana penduduk yang berasal dari latar belakang yang berbeza daripada seluruh pelusuk negeri ini sama-sama berganding bahu dalam menjayakan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh Koperasi. Hal ini memberikan kekuatan cukup hebat dan besar untuk Koperasi berkecimpung di dalam era perniagaan yang serba mencabar sekarang ini.

Dengan kekuatan jaringan rakan niaga yang luas yang dipunyai oleh Koperasi, diharapkan pelan-pelan perniagaan dan dagangan yang di sasarkan akan berjaya dilaksana seterusnya memberi manfaat kepada semua ahli-ahli Koperasi. InsyaAllah..